Salam....

Blog ini dibina hanya untuk aku mengutarakan buah fikiran peribadi ku.....
Tiada kena mengena dengan sesiapa jua...
Jika ada yang tersinggung, harap dimaafkan...

Lagu untuk anda semua....

Showing posts with label Jenama. Show all posts
Showing posts with label Jenama. Show all posts

Monday, April 6, 2009

Jenama Part 4

Siang tadi seorang kawan meminta pendapat aku tentang nama yang dia hendak gunakan bagi produk atau syarikat barunya. Aku taklah pandai dalam bidang ini tapi pada pendapat aku nama barangan, mahupun nama sesebuah syarikat itu mestilah sesuai dengan jenis barangan yang dihasilkan. Nama sedikit sebanyak memberi impak pada kelarisan sesuatu barangan tersebut dan kesilapan memberi nama, adakala membuatkan barangan atau syarikat itu tidak dikenali ramai maka kelarisannya terbatas.

Oleh yang demikian kita mesti memikirkan dengan teliti tentang nama yang hendak kita gunakan bagi barangan yang kita hasilkan ataupun nama untuk syarikat kita itu. Misalnya, syarikat kita menghasilkan barangan elektrik tetapi kita memberi nama 'Jambu Batu SDN BHD' bagi syarikat kita tersebut, maka ini adalah tidak bersesuaian.

Kita perlu bijak didalam pemilihan nama bagi barangan atau syarikat kita. Pilihlah nama yang sedikit sebanyak menggambarkan barangan yang dihasilkan. Pilihlah nama yang unik tetapi mudah diingati supaya ia menjadi penarik untuk orang ramai membelinya. Kadang kala barangan yang sama tetapi berlainan jenama membuatkan salah satunya tidak dikenali ramai.

Pandai pandailah memilih nama semoga nama itu dapat memberi tambahan nilai pada barangan tersebut dan akhirnya laku dipasaran....

Saturday, February 28, 2009

Jenama Part 3

Sekali lagi aku nak memberi pendapat tentang jenama. Kalau pendapat aku ini salah, RKC, tolong betulkan ye.. Jenama bukan sahaja membantu kita menambah nilai barangan atau syarikat kita, tetapi jenama juga menjadi salah satu faktor yang mendorong kita megeluarkan barangan atau perkhidmatan yang berkualiti. Maksud saya disini, jika kita sudah ada jenama untuk diri kita atau barangan kita, kita sudah tentunya akan berusaha menjaga jenama kita tersebut, maka untuk tujuan itu kita akan berusaha menjaga kualiti barangan tersebut.

Dalam masa sekarang ini, kalau kita sebut pasal barangan elektrik tentu semua akan akui bahawa barangan Panasonic atau Sony atau Samsung itu yang berkualiti dan tahan lama. Jadinya sudah tentu syarikat-syarikat ini akan bersaing untuk mengeluarkan barangan yang berkualiti. Sekiranya barangan kita tidak ada jenama, sudah tentu harganya akan jadi murah dan kualitinya tidak terjamin. Kita sendiripun akan tidak terdorong untuk menjadikan barangan itu berkualiti tinggi.

Pemilihan jenama juga adalah penting, jenama itu sendiri mestilah berkualiti. Jika jenama itu sendiri tiada kualiti maka barangan/syarikat kita tidak akan laku dan dikenali ramai. Sebagai contoh, ada tak orang akan membeli peti ais berjenama 'peti sejuk haprak' ? Tentunya tiada. Maka jenama itu mesti sama kualitinya dengan sesuatu barangan itu dan sesuatu barangan itu mesti sama kualitinya dengan jenamanya itu.

Secara tak langsung jenama ini juga akan menjadikan kita lebih kreatif di dalam perniagaan kerana kita terdorong untuk berfikir untuk menjaga kualiti barangan kita juga sentiasa terdorong untuk memikirkan sesuatu yang baru.

Sentiasa fikirkan yang baru dan sentiasa berfikir di luar kotak, pasti anda akn berjaya....

Thursday, February 19, 2009

Jenama Part 2

Post aku lalu, aku ada bercerita tentang jenama mengikut persepsi aku sendiri dan kali ini aku ingin menambah sedikit lagi tentang jenama ni. Sebelum itu aku ingin minta maaf terlebih dahulu jika apa yang bakal aku ceritakan ini tidak tepat mahupun tidak betul sama sekali...

Pada pendapat aku, kalau kita hendak cepat berjaya di dalam perniagaan, kita boleh terus menceburi perniagaan yang menggunakan jenama yang besar dan telah terkenal iaitu di dalam perniagaan francais. Contohnya KFC, Mc Donald dan sebagainya. Jenama-jenama yang besar seperti ini dapat membantu kita berjaya dalam masa yang singkat sahaja. Jenama-jenama seperti ini menjadi besar dan terkenal kerana outletnya yang banyak dan mereka mempunyai hidangan atau produk yang tersendiri.

Aku terfikir bagaimana pula kalau kita hendak membina jenama kita sendiri dan menjadikannya jenama yang besar sedangkan kita tidak mempunyai dana yang begitu besar untuk menjalankan perniagaan secara francais..? Ini yang aku rasa patut difikirkan oleh orang orang kita yang tidak mempunyai modal yang besar tetapi ingin berjaya dalam perniagaan. Mungkin ide aku di bawah ini dapat diguna pakai.

Di dalam perniagaan runcit misalnya, kita tubuhkan sebuah persatuan yang di anggotai oleh peruncit-peruncit dan beberapa pembekal. Peruncit-peruncit ini menjalankan perniagaan secara individu tetapi menggunakan jenama yang sama, sistem yang sama, warna syarikat yang sama dan logo yang sama. Carilah nama ( jenama ) yang pendek dalam dua atau tiga suku kata sahaja. Kalau kita perhatikan, syarikat-syarikat yang besar dan berjaya hanya menggunakan jenama yang pendek sahaja, seperti Tesco, Giant atau MYdin. Jenama yang pendek ini mudah meletup, mungkin kerana ianya mudah disebut dan diingati.

Peruncit-peruncit ini pula hendaklah membeli barangan dari pembekal-pembekal yang menjadi ahli persatuan sahaja. Pembekal-pembekal ini pula hendaklah berpakat membahagi-bahagikan barangan apa yang akan dibekalkan oleh satu satu pembekal itu. Maksudnya satu pembekal mungkin membekalkan beberapa jenis barangan sahaja dan pembekal yang lain membekalkan barangan yang lain pula. Dengan ini pembekal boleh mengambil barangan terus dari kilang dengan kuantiti yang besar dan sudah tentu akan mendapat harga yang lebih murah. Seterusnya pembekal-pembekal ini dapat membekalkan barangan kepada peruncit ( ahli persatuan ) dengan harga yang murah dan akhirnya peruncit juga dapat menjualnya pada harga yang murah kepada pengguna. Ini juga akan menjadi faktor pengguna-pengguna tertarik untuk berbelanja di kedai kita sekaligus memberi kita keuntung yang lebih tinggi.

Sekiranya ada diantara ahli persatuan menghadapi masalah, perbincangan di dalam persatuan dijalankan bagi membantu ahli yang bermasalah itu. Dengan cara ini semua ahli persatuan dapat kekal lama di dalam perniagaan dan perniagaan kita akan menjadi lebih besar dan berjaya. Dengan ini juga segala manafaat dan keuntungan dapat dirasai oleh semua pihak dari pembekal hinggalah kepada pengguna.....

Akhirnya jenama yang digunakan akan menjadi gah dan ia akan memainkan peranan melakukan barangan kita.....

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.....
Persefahaman bersama membawa kekayaan/kejayaan bersama....

Tuesday, February 17, 2009

Jenama

Seronok juga bercerita tentang 'jenama'. Saya bukanlah pandai sangat tentang 'jenama', tapi saya juga ada pendapat saya sendiri tentang 'jenama'. Pada saya 'jenama' adalah penambah nilai pada sesuatu produk, syarikat, barangan mahupun pada diri kita sendiri. Ianya ibarat bahan perasa di dalam makanan. Dengan adanya jenama, maka sesuatu produk itu akan menjadi lebih berharga atau mahal. Tidak kiralah sebesar manapun atau sekecil manapun syarikat atau produk itu, jenama akan membuatkan ianya bernilai.

Jenama bukan setakat menaikkan nilai sesuatu barangan, malah jenama juga memainkan peranan yang penting untuk menentukan barangan tersebut laku dipasaran. Jenama juga akan membuatkan kita dapat mengiklankan barangan kita dengan percuma tetapi kita kena pastikan bahawa baragan kita itu berkualiti. Sebagai contohnya, kita menjual nasi ayam dan kita namakan produk kita 'Nasi Ayam Pak Ya'. Sekiranya makanan itu sedap maka pengiklanan dari mulut ke mulut akan berlaku. Orang akan berkata kalau nak makan nasi ayam yang sedap, pergilah cari Nasi Ayam Pak Ya. Itulah iklan percuma namanya.

Jenama juga dapat membuatkan produk kita bertahan dipasaran. Jenama Panasonic misalnya, dapat bertahan puluhan tahun dipasaran dan harganya juga agak mahal. Malah kebanyakan orang membeli kerana jenamanya. Atas sebab inilah, saya rasa semua orang harus memikirkan tentang pentingnya jenama.

Kalau kita lihat sekarang ini, banyak syarikat-syarikat yang melakukan penjenamaan semula bagi syarikat-syarikat mereka. Ini adalah marketing strategy untuk mereka kekal dipasaran mahupun untuk menyelamatkan syarikat yang sakit dari terus tersungkur.

Sekarang ini juga kesedaran tentang pentingnya jenama dah mula menular dalam masyarakat di Malaysia. Kita boleh lihat perniagaan tepi jalan juga sudah ada jenama misalnya Jambu Mak Usu, Goreng Pisang Azmi, Air Jambu 88, Warung Rindu, Mee rebus Lan Janggut dan sebagainya. Ini adalah satu petanda yang baik, semoga perniagaan orang kita bertambah maju.........

Tanpa jenama, siapalah kita....
Tanpa jenama, tiadalah bernilai barangan kita...